Thursday, October 13, 2011

5 Sebab Kenapa Bersolat



Solat merupakan tiang agama, apabila kita meninggalkan solat, maka runtuhlah agama. Solat adalah suruhan atau perintah daripada Tuhan Semesta Alam iaitu Allah SWT. Sepertimana yang kita ketahui, Rasulullah SAW mengarahkan ibu bapa supaya mendidik anak-anak mereka bersolat dalam lingkungan umur anak-anak itu 7 tahun dan apabila anak-anak tersebut memasuki umur 10 tahun, Rasulullah SAW memukul anak-anak mereka atas tujuan mendidik. Firman Allah dalam surah Taha ayat 132, yang bermaksud:
"Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun dan bersabar dalam menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah!) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertaqwa."


 Dengan yang demikian, melalui menyempurnaan solat dengan tekun dan khusyuk serta melaksanakan dengan memenuhi syarat-syarat solat dapat membina diri dalam pembentukan jati diri seorang muslim.

Peranan Solat:
1. SOLAT MENJADI BUKTI PENGABDIAN DIRI KEPADA ALLAH SWT.
-Solat adalah bukti pengabdian diri seorang hamba kepada Allah s.w.t.. Ia juga tanda seseorang hamba itu beriman kepada Allah s.w.t.. Firman Allah dalam surah al-Zumar ayat 11 yang bermaksud:
"Katakanlan lagi (wahai Muhammad), sesungguhnya aku diperintahkan supaya menyembah Allah dengan mengikhaskan segala ibadat kepada-Nya."
2. SOLAT MENJADI SUMBER KETENANGAN DALAM DIRI.
-Ibadah solat mampu menjana perasaan tenang dalam diri. Apabila kita bersolat, seluruh jiwa kita serahkan kepada Allah s.w.t.. Ini ada dinyatakan dalam surah al-Ra'd ayat 28 yang bermaksud:
"(iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia."
3. SOLAT MENJADI BENTENG DIRI DARIPADA PERKARA MUNGKAR.
-Solat yang sempurna dari aspek hukum-hukumnya beserta dengan kualiti khusyuk, mampu menjadi perisai kepada perkara-perkara keji dan mungkar. Allah berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud:
"Sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa-apa yang kamu kerjakan."
 4. SOLAT ADALAH CIRI ORANG YANG BERJAYA.
-Solat adalah perkara utama yang akan dinilai oleh Allah s.w.t.. Pada penilaian Allah, orang yang melaksanakan ibadah solat dengan khusyuk ialah orang yang berjaya di sisi-Nya. Firman Allah dalm surah al-Mu'minun ayat 1-2 yang bermaksud:
"Sesungguhnya berjayalah orang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya."
5. SOLAT ADALAH TANDA SYUKUR.
-Ibadah solat pasti menjadi cermin kepada orang yang mensyukuri nikmat Allah. Sebagai tanda mereka bersyukur kepada Allah, orang yang beriman pasti akan menunaikan solat dengan penuh khusyuk. Allah telah berfirman dalam surah al-Khawthar ayat 1-3 yang bermaksud: 
"Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan-kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, kerjaknlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan Engkau, dialah yang terputus (daripada mendapat sebarang perkara yang diinginkan)."

Oleh itu para sahabat, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri. Kita sebagai tunas-tunas Islam terus berusaha menjadi orang yang memakmurkan masjid dan surau dengan ibadah solat dan lain-lain program ibadah. Kerana jika bukan kita yang beragama Islam yang mengimarahkan masjid dan surau, siapa lagi yang menjadi harapan kita jika ia tidak bermula dari kita? Maka sahabat-sahabat, renung diri kita dalam-dalam, moga kita dapat berubah menjadi mukmin yang berjaya dunia akhirat.... Amin..


Sumber: Ustaz Mohamad Zarifi Haji Muhamad Daud, Majalah Gen-Q, Vol. 1, Isu 3, Halaman 82-83

No comments:

Post a Comment