Pengertian dakwah
mempunyai beberapa pengertian dan istilah, perkataan dakwah berasal
daripada bahasa Arab. Antara pengertian dakwah yang biasa kita fahami ialah
seperti meminta tolong, beribadat, memandu, menjemput, mengajak, memanggil,
menyeru, dan melaung.[1] Dalam tafsiran mengikut ahli dakwah,
perkataan tersebut mempunyai peristilahan dan maknanya yang tersendiri.[2]
Muhammad al-Ghazali memberi
penerangan istilah dakwah sebagai satu program (barnamij) yang lengkap,
yang kesemua peringkatnya mengandungi semua ilmu pengetahuan yang menjadi satu
keperluan kepada manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup dan bagi
menyingkap panduan jalan yang menjadi petunjuk kepada mereka.[3]
Dalam pengertian mengikut Dr. Yusuf
al-Qaradawi pula, beliau mendefinisikan dakwah sebagai usaha membawa orang lain
kepada agama Islam, supaya mengikut petunjuk agama ini, melaksanakan segala
ketetapannya di muka bumi ini, mengkhususkan segala bentuk penghambaan diri,
permohonan dan taat kepada Allah sahaja, melepaskan diri dari segala kongkongan
yang bukan daripada Allah (taghut) yang terpaksa dipatuhi, memberi hak
kepada orang lain yang ditentukan hak oleh Allah, menyeru kepada kebaikan dan
mencegah segala kemungkaran, dan bejihad pada jalan-Nya.[4]
Adam Abdullah al-Auri dalm kitabnya Tarikh
al-Dakwah al-Islamiyah baina al-Ams ila al-Yaum menjelaskan bahawa dakwah
ialah memalingkan pandangan dan pemikiran manusia kepada pandangan dan
pemikiran yang berdasarkan akidah, kerana dakwah merupakan satu seruan bagi
menyelamatkan manusia daripada kesesatan yang hampir-hampir meraka terjerumus
ke dalamnya.[5]
Dr. Abu al-Majd al-Sayyid Nawfal
menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan dakwah itu ialah usaha golongan yang
mempunyai kemampuan memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada sasaran untuk
membawa mereka kepada Islam dan menjauhkan mereka daripada kepercayaan selain
kepada Allah dengan cara-cara tertentu.[6]
Dr. Ra’uf Shalabi menerangkan bahawa
dakwah Islamiah itu ialah gerakan membawa atau mengubah masyarakat daripada
keadaan kekufuran kepada keadaan keimanan, daripada keadaan kegelapan kepada
keadaan cahaya dan daripada keadaan sempit kepada keadaan lapang, di dunia dan
di akhirat.[7]
Abu Ala’Al-Mawdudi menerangkan Dakwah adalah
panggilan Ilahi dan Rasul mengajak manusia memiliki nilai-nilai suci dan agung.
Dakwah adalah menghidupkan manusia, iaitu menghidupkan pancaindera, daya
pemerhatian, daya rasa, daya ciptanya, menghidupkan dhamir, hati nurani
dan bashirah. Menghidupkan manusia yang seimbang dari segi ilmu, iman
dan amal. Ibadah, ikhtiar dan doa.[8]
[1] Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab,
Jil. 14, (Beirut: Dar Sadir). Hlm. 257-261
[3] Muhammad al-Ghazali, 1981, Ma’a Allah
(Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi. Hlm. 17
[4] Dr. Yusuf al-Qaradawi, 1978, Thaqafah
al-Da’iyah, Beirut. Hlm. 5
[5] Adam Abdullah al-Aluri, 1989, Tarikh
al-Dakwah al-Da’wah al-Islamiyah baina al-Ams ila al-Yaum, Kaherah:
Maktabah Wahbah. Hlm. 17
[6] Dr. Abu al-Majd al-Sayyid Nawfal, 1977, al-Da’wah
ila Allah Ta’ala: Khasaisuha Muqawimatuha Manahijuha. Hlm. 18
[7] Dr. Ra’uf Shalabi, 1982, Sikulugiyah
al-Ra’I wa al-Da’wah, Kuwait: Dar al-Qalam. Hlm. 49
[8] http://ctu101.blogspot.com/2008/04/konsep-dakwah-dalam-islam.html, Abd Aziz bin Harjin, 17 April 2008.